Friday 13 July 2012

TEMERLOH!

 murid terpaksa belajar menggunakan meja yang uzur akibat vandalisme

TEMERLOH: Punah. Ungkapan tepat selepas melihatkan pelbagai kemudahan di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Taman Tualang Indah, dekat sini dirosakkan berikutan gejala vandalisme yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab.

Tinjauan edisi Timur mendapati sebahagian besar kepala paip di kawasan tempat mengambil wuduk, di dalam tandas pelajar dan guru serta tempat membasuh kaki hilang akibat dicuri. Turut menjadi mangsa vandalisme meja dan papan tulis, manakala pendawaian elektrik dalam bangunan itu dicuri, siling dipecahkan, tandas tersumbat kerana dibuang pelbagai sampah seperti kertas, kotak dan tin minuman.
Keadaan itu sekali gus mendatangkan kesukaran kepada 170 murid serta enam guru di sekolah berkenaan.

Sekolah SAR yang menjalankan sesi pembelajaran sebelah petang beroperasi sejak 2010 di bangunan bekas masjid berikutan ketiadaan bangunan khas bagi kelas agama.

Penduduk, Noraidah Muhamad, 45, berkata sikap tidak menghormati kemudahan awam kalangan remaja dikesali kerana mendatangkan kesukaran kepada murid yang belajar secara kondusif di sekolah berkenaan.

Katanya, kemudahan awam yang digunakan pelajar dirosakkan sehingga mendatangkan kesukaran kepada pelajar apabila guru ingin membuat latihan praktikal mengambil air wuduk.
Penduduk, Mohd Razali Abdul Rahman, 43, terkilan kerana masih terdapat pihak yang melakukan kegiatan vandalisme kerana boleh mengganggu kelicinan pembelajaran kelas agama kanak-kanak di kawasan taman perumahan.

Katanya, penduduk membayar yuran pembelajaran hanya RM6 sebulan dan wang berkenaan digunakan bagi membeli keperluan alatan pembelajaran seperti carta, buku rujukan, alat tulis dan pembayaran bil elektrik serta bekalan air.

“Adalah menjadi hasrat masyarakat supaya jawatankuasa sekolah berkenaan mengadakan pemantauan sepanjang hari terutama waktu malam bagi membendung budaya vandalisme” katanya.

Tenaga pengajar, Robeah Walat, 37, berkata, pihak pentadbiran sekolah terpaksa membaiki sendiri kerosakan pendawaian akibat dicuri serta memasang jeriji besi bagi memastikan mereka tidak dapat menceroboh di dalam kelas.

“Sekolah tidak mempunyai sumber kewangan untuk memperbaiki kemudahan yang dirosakkan kerana bantuan kewangan diterima diutamakan bagi membeli peralatan pembelajaran," katanya.

Pihaknya pernah membuat laporan polis Mac lalu, mengenai kegiatan vandalisme dan jawatankuasa sekolah juga sudah memohon bantuan membaiki pulih kepada Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab, Chua Boon Siong.

No comments:

Post a Comment