Friday 13 July 2012

Kita masih bergelut dengan vandalisme

Kita masih bergelut dengan vandalisme

LAPORAN terbaru di akhbar tempatan berkenaan punca utama menara talian penghantaran elektrik di Sepanggar, Sabah tumbang sehinggakan mengakibatkan seluruh Sabah gelap pada 22 April lalu dipercayai akibat perbuatan vandalisme apabila sebanyak 20 batang besi menara itu hilang dicuri, perlu diberikan perhatian segera oleh pihak kerajaan.
Menurut laporan berkenaan, nilai kerugian akibat perbuatan tidak bermoral ini mencecah antara RM300,000 dan RM500,000 manakala kos pembaikan pula dijangka menelan belanja lebih RM400,000.
Perkataan vandalisme yang berasal daripada nama sebuah puak di Eropah iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi membawa maksud membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Baru-baru ini juga akhbar tempatan turut melaporkan bahawa Majlis Bandaraya Johor Bahru membelanjakan kira-kira RM2 juta untuk memperbaiki pelbagai kemudahan awam akibat perbuatan vandalisme di bandar raya tersebut sepanjang tahun 2007.
Menurut Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Naim Nasir, jumlah tersebut merupakan satu pembaziran dan kakitangannya yang seramai 1,380 orang tidak mampu menangani masalah tersebut selama 24 jam sehari.
Jumlah yang dibelanjakan MBJB pada tahun lalu itu meningkat berbanding RM1.5 juta untuk menangani masalah sama pada tahun sebelumnya.
Malah, sebelum ini, kerajaan negeri Selangor sewaktu di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo telah meluluskan RM20 juta untuk mengecat semula rumah-rumah pangsa di seluruh negeri berkenaan yang telah rosak akibat perbuatan vandalisme ini.
Sementara itu, Laporan Perangkaan Kes Vandalisme Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menunjukkan setakat empat bulan tahun ini, agensi kerajaan dan swasta telah membelanjakan RM1.3 juta bagi mengganti dan membaiki kemudahan akibat vandalisme yang membabitkan 6,814 kes.
Sepanjang tahun lalu, pihak DBKL juga telah membelanjakan RM2.1 juta yang membabitkan 5,290 kes.
Bayangkan nikmat yang boleh diterima oleh rakyat ini yang memerlukan bantuan jika tiada tindakan vandalisme. Pembaziran ini perlu dihentikan dengan penggubalan satu tindakan yang drastik demi mengekang jenayah sosial ini terus menjadi-jadi.
Maka sudah tiba masanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengkaji semula undang-undang berkaitan vandalisme ini dengan memperkenalkan hukuman yang lebih berat seperti sebat dan penjara berikutan peningkatan kes vandalisme yang semakin serius.
Pada masa yang sama, satu akta yang khusus dan selaras juga perlu diwujud serta dikuatkuasakan oleh semua pihak berkuasa tempatan memandangkan undang-undang kecil yang sedia ada tidak memadai untuk mengekang jenayah vandalisme ini.
Undang-undang kecil berkaitan vandalisme yang wujud pada masa sekarang kelihatan sudah tidak relevan lagi kerana pesalah hanya dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Malah persoalan menariknya ialah berapa ramai yang pernah dihukum di bawah undang-undang kecil berkaitan vandalisme ini?
Skuad Anti Vandalisme yang ditubuhkan di sekolah-sekolah sekitar tahun 2001 umpama ‘hangat-hangat tahi ayam’ kerana tiada sebarang perkembangan lanjut mengenai skuad berkenaan.
Tindakan segelintir pihak berkenaan yang ‘melepas tangan’ dalam melaksanakan program-program untuk menangani sesuatu isu umpamanya masalah vandalisme ini dilihat punca utama yang menyebabkan golongan pelajar tidak diberikan pendedahan yang sewajarnya berkenaan jenayah vandalisme ini.

Usaha perlu digerakkan dengan kerjasama daripada pihak media massa itu sendiri untuk membantu bagi menyampai dan menghebahkan maklumat berkaitan untuk menyedarkan masyarakat berhubung impak akibat jenayah sosial ini.
Dalam menangani permasalahan ini khususnya dari aspek perundangan negara, eloklah merujuk undang-undang berkaitan vandalisme di negara-negara lain seperti Singapura yang bukan sahaja mengenakan hukuman penjara dan denda tetapi juga hukuman sebat di bawah Akta Prosedur Jenayah dengan memperuntukkan tidak kurang tiga sebatan dan tidak melebihi lapan sebatan bagi kes yang serius.
Ini menunjukkan betapa negara-negara lain begitu komited untuk menangani gejala ini yang bukan sahaja memberikan impak kepada ekonomi negara tetapi juga impak kepada industri pelancongan negara yang akan memperlihat betapa rakyat negeri Sabah ‘dipaksa’ untuk bergelap selama 5 jam akibat tiadanya pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan vandalisme ini.
Bak kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Fasiliti Negara (NAFAM) 2007 bahawa kerajaan menyediakan infrastruktur kelas pertama tetapi rosak akibat perbuatan vandalisme.

No comments:

Post a Comment